VCCPU

Jawatankuasa ini diwujudkan sebagai platform perundingan dalam meningkatkan martabat pendidikan negara. Penubuhan Jawatankuasa ini merupakan usaha berterusan oleh KPM untuk mengukuhkan libat urus pihak universiti swasta dalam memastikan mutu pendidikan tinggi negara berada pada tahap yang cemerlang.- Gambar hiasan.

Majlis Naib Canselor Universiti Swasta Angkat Martabat Pendidikan

Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah diperkenalkan sejajar dengan permintaan pihak kerajaan dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara memandangkan negara Malaysia memerlukan tenaga mahir yang ramai dalam menuju masa hadapan.

 

Statstik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) pada tahun 2019, menujukkan jumlah IPTA adalah sebanyak 158 (termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti) dan IPTS sebanyak 436 (termasuk IPTS bertaraf universiti, IPTS universiti cawangan luar negara, kolej universiti dan kolej)

 

Enrolmen kemasukan pelajar antarabangsa ke IPTA dan IPTS pula adalah sebanyak 32,404 dan 59,013 manakala bilangan pelajar warganegara adalah sebanyak 657,709 dan 574,331 serta bilangan kekuatan stafnya adalah sebanyak 31,626 bagi IPTA dan 23,338 bagi IPTS.

 

Statistik ini menunjukkan IPTS sememangnya merupakan pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran dan merupakan institusi pengajian tinggi yang telah mengemukakan pelbagai tawaran dalam melanjutkan pengajian kepada rakyat Malaysia khususnya dan antarabangsa amnya.

 

Pencapaian universiti swasta semakin rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini adalah kerana budaya kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan pengembangan yang telah sekian lama diamalkan oleh universiti awam telah mula diterapkan pada universiti swasta.

 

Berdasarkan statistik KPT pada tahun 2020, terdapat 11 universiti swasta yang telah mendapat pengiktirafan 5 dan 6 bintang dalam Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) bagi tahun 2019 daripada 23 universiti keseluruhan yang mendapat penarafan tersebut dan secara tidak langsung menunjukkan kehebatan universiti swasta.

 

Kecemerlangan ini pada dasarnya turut membantu kecemerlangan negara dalam melonjakkan lagi jenama pendidikan tinggi Malaysia untuk membantu ke arah sasaran 200,000 orang pelajar antarabangsa di masa hadapan. Universiti swasta sememangnya dibangunkan di atas dasar menjadikan pendidikan tinggi negara sebagai satu industri yang boleh menjenamakan Malaysia di peringkat global. Malah, negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, universiti swasta merupakan peneraju pendidikan tinggi negara tersebut dan nama mereka gah seantero dunia seperti Harvard University, Yale University dan Massachusetts Institute of Technology.

Seterusnya, memastikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun dan sedang meningkat maju dapat menyediakan sebuah ekosistem pengajian tinggi swasta yang bukan sahaja diiktiraf sebagai bertaraf dunia, malah mampu menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi serantau.

MalaysiaGazette

share: